Wednesday, June 3, 2009

Ke hadapan Bintang Jatuh,

Ke hadapan Bintang Jatuh,


Aku memberanikan diri untuk menyapamu, wahai bintang nun jauh di sana, kiranya engkau sudi meluangkan masa untuk membaca suratku ini. Bintang Jatuh, harapanku agar kaubalas utusan yang jauh dikirimkan ini dengan satu tujuan murni; hiburkan hatiku yang sedang melara.

Bintang Jatuh,
Saat kumengingati kenangan-kenangan lampau ketika hati sedang enak berjinak-jinak dengan sejenis makhluk bernama cinta, aku kerinduan lagi. Entah mengapa, cinta yang pergi tiba-tiba terasa masih di sisi, terlalu dekat dan kuat sehingga mampu hatiku untuk berdebar-debar. Aku sebenarnya benci keadaan sebegini masih membelengguku.

Setelah cinta yang kumaksudkan itu telah terbunuh, Bintang Jatuh, aku sudah tekad dengan diri sendiri. Tiada cinta lagi sanggup kugadai dan kupajakkan. Aku keliru dengan kesucian yang sering digembar-gemburkan. Apalah dosa cintaku, sedang hati ini masih benar-benar terkesan dek pemergiannya yang cukup parah menganggung kekejaman. Bintang Jatuh, aku benar-benar keliru kerana kerinduan pada cintaku kini, ternyata masih wujud dalam sanubari.

Andai kautahu penawarnya, maka sudilah kauhadir menunjukkan dirimu. Aku melihatmu sekali dalam angan-anganku, seolah-olah kaumampu mencairi kesepian yang menjadi kubu di pusara hatiku. Bintang Jatuh, kauselamilah perkataan-perkataanku ini! Datanglah dan khabarkan kepadaku kemunculanmu. Aku ingin mengubati dukaku dengan kehadiranmu. Engkau umpama sahabat yang sentiasa menemani kegelapan alamku. Bintang Jatuh, sampaikan padaku iktiraf dari pelosok hatimu sebagaimana kejatuhanmu suatu masa, dalam angan-anganku, telah mampu membuatkanku tersenyum. Engkau sungguh menakjubkan, terasa kelibatmu itu sebagai satu pujukan dari yang Maha Kuasa agar diriku tidak kesepian lagi.

Bintang Jatuh, mohon untuk dibalas surat ini. Aku menanti jawapannya darimu, hai bintang yang aneh. Izinkan jiwa dan naluriku tenang tanpa sedikitpun rasa rindu menerjah. Cinta itu telah diragut kejam, lantas terus menghantuiku. Cinta itu, tidak sepatutnya pergi dan membiarkanku keseorangan, kerana aku takut untuk merasakan kerinduan ini pada cintaku. Sudilah kauterima suratku ini dan menghayatinya.
Salam dari kejauhan: Bunga Matahari, seawal pagi di ufuk Bumi.
Vh~