Saturday, May 30, 2009

Muqaddimah

Assalamualaikum wrt. wbt. dan Salam Sejahtera;
Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Pencipta Alam Semesta iaitu Allah kerana telah memberi ilham kepada saya untuk membuka lembaran baru di alam siber dengan tujuan berkongsi pengalaman menulis karya-karya kreatif dan puitis agar menjadi satu diskusi sastera terbuka dengan semua peminat seni dan sastera seantero dunia.
Secara dasarnya, vikinghumaira merupakan blog ketiga (peribadi) yang saya ada di alam siber ini. Saya berkenalan dengan bidang 'blogger' tidak sampai tiga tahun, iaitu bermula pada akhir tahun 2007. Saya akui 'blogger' menjadi salah satu hobi yang paling saya sukai, malahan paling mententeramkan perasaan saya yang terkadang memerlukan satu ruang untuk meluahkan isi hati supaya perasaan yang terpendam akhirnya terlerai dan jiwa berasa lebih lega.
Saya amat meminati bidang sastera. Sebagai seorang pelajar jurusan Pengajian Sastera Arab, saya berasa sungguh bertuah dan syukur dengan pendekatan yang saya bawa ini. Sastera, atau seni akhirnya menjadi sebahagian daripada darah daging saya. Ia menggambarkan kehidupan, ia mewakili segenap sudut yang manusia hidup dan bertebaran di dalamnya, ia satu kehidupan..bagi saya, seni itu satu kehidupan.
Bermula dengan tekad baru seawal bulan Jun yang bakal menjelma sehari lagi, saya akan menggalas tugas dan bebanan yang telah saya cagarkan pada diri sendiri iaitu berusaha mengembangkan bakat kreatif yang saya miliki (dengan izin Allah) serta berkongsi pengalaman menulis ini dengan rakan-rakan secara maya. Yang penting, hubungan 'kekeluargaan' yang (saya yakin) bakal menjelma nanti akan menjanjikan satu fenomena seni dan sastera yang baik dan saya mengalu-alukan sebarang komen mahupun kritikan membina agar setiap kelemahan yang dikenalpasti dalam penulisan saya dapat diperbaiki dan dinaiktaraf, insya Allah.
Sekian untuk sesi pemulaan. Doakanlah semoga Allah memberkati usaha-usaha kreatif saya ini. Terima kasih buat alam semesta dan jiwa-jiwa yang tersentuh dengan coretan ini. Jumpa lagi!
Ikhlas; v i k i n g h u m a i r a~