Saturday, August 15, 2009

Sesaat Membuka Bicara

(Sajak ini pernah dipaparkan di salah satu blog saya : Pena Ainur Latifah)

May 27th, 2008 by qfatihahdotcom

Rindu menjamah santapan nurani
tatkala angin malam menderukan suara kehambaan
menantikan cinta suci berlegar-legar di laman diri
aku sudah datang, Tuhan!
kini, aku pasti takkan mengabaikan pertemuan
antara sekujur diri dan Penciptanya

Lemas nafasku di kerongkong kesedihan
terasa aku mahu mati, mahu terus mati
aku berdosa, Tuhanku!
apalah nasib diri yang tiada tuah di dada
setelah Kau kulupakan sesaat dalam jagaku
setelah Kau kusisihkan berkali-kali dalam ralitku

Ingin sekali kudendangkan kemaafan
agar Kausudi menerimaku kembali
terlalu ingin kulafazkan perkataan itu

Ya Allah, kelu lidahku sesaat
getar hatiku sekejap
kaku diriku ini, Tuhan
Engkau maha memahami

Ingin kubuka bicara hatiku ini
mempamerkan keazaban dan seksaan yang menjerat
menodai dan memenuhi ruang diri
namun, kumalu pada-Mu
aku, hamba penuh dosa dan nista

Wahai Allah!
izinkan air mataku tertumpah lagi
agar tenang arus rasa di jiwa
saat membuka bicara di hadapan-Mu
memanggil-manggil lesu nama-Mu yang maha atas

'Sesungguhnya Allah amat memahamimu, terimalah kenyataan sesungguhnya setiap ujian yang didatangkan kepadamu bukan bererti Dia mengazabmu, bahkan Dia mahu kausedar bahawa cintamu yang abadi hanya semata-mata untuk-Nya yang Abadi. Jadi, yakinlah pada Dia yang Satu.' Vh~